Pages

.

Saturday, 21 July 2012

Lailatul Qadar



Assalammualaikum...

Di dalam bulan Ramadhan adanya satu malam yang disamakan nilainya dengan seribu bulan. Malam itu ialah Lailatul-qadar ataupun dalam bahasa melayunya Malam Qadar. Malam ini juga disebut di dalam Al-Quran juz amma.

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Qadar,

[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Qadar itu?

[3] Malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

[4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

[5] Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!


Hadis nabi bermaksud,   

``Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.'' (Riwayat Ibnu Majah)

Ayat dalam surah Al-Qadr ada menyentuh mengenai malam kemuliaan iaitu malam penurunan Al-Quran (Nuzul Al-Quran). Malam Al-Qadr merupakan malam yang penuh keberkatan mendapat keampunan, rahmat dan keredhaan Allah s.w.t.).


Istilah qadar mempunyai tiga maksud;
1) menetapkan, 2) kemuliaan dan 3) penyempitan.

Pertama iaitu menetapkan, pada malam tersebut, Allah telah menetapkan perjalanan hidup manusia melalui seruan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. ke arah jalan yang hak dan menolak kebatilan dan itulah aturan jalan ketetapan yang ditentukan Allah walaupun penuh halangan.
Kedua, malam tersebut adalah semulia malam kerana berlakunya penurunan Al-Quran (nuzul Al-Quran) dan adanya pengiktirafan Allah terhadap malam tersebut.
Ketiga, berlakunya kesempitan di dunia kerana kehadiran para malaikat yang membawa rahmat dan keampunan Allah.


Bilakah Waktu Sebenar Lailatul Qadar?

Pertamanya, Lailatu Qadar hanya akan berlaku dalam bulan Ramadhan. Kedua, kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Ini adalah pendapat yang paling sah. Ketiga, ia berlaku pada malam-malam ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.


Apakah Amalan Pada Malam Lailatul Qadar?


Amalan yang mesti dilakukan pada malamnya ialah memperbanyakkan ibadah, membaca Al-Quran, beriktikaf dan berdoa. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.a berkata:

``Ya Rasulullah bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar? Apa yang harus saya ucapkan pada malam itu?''

Baginda bersabda: Ucapkanlah:

`Ya Allah kami bermohon pada-Mu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni (hamba-hamba-Mu), maka ampunilah (dosa-dosa) kami.'' (Riwayat Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad).

Doa lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud: 

"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan peliharalah kami dan siksa neraka" (QS Al-Baqarah [2]: 201).


Petanda Berlakunya Lalilatul Qadar.

Petanda berlakunya malam istimewa ini boleh diketahui pada malam tersebut ataupun pada pagi berikutnya. Namun demikian, semua petanda yang diberikan dalam Hadis adalah terlalu umum dan sukar untuk dihuraikan kerana ketiadaan tanda spesifik dan berfokus. Petanda pada waktu malam ialah riwayat Imam Ahmad bin Hanbal  “Tandanya adalah langit bersih, terang bagaikan bulan sedang purnama, tenang, tidak dingin dan tidak pula panas ...”. Hadis ini menepati keadaan dan suasana malam Al-Qadr yang sejahtera, tenang dan damai. Insyaallah pada malam Lailatul Qadr, barangkali langit tidak akan kelihatan awan hitam atau gumpulan awan tebal yang mengotorkan langit dengan noda. 

Katakanlah walau pada malam 27 Ramadan, langit kelihatan terang seperti malam 15 atau 16 bulan purnama. Maksud tenang sukar untuk digambarkan, mungkin merujuk kepada ketenangan malam dan suasana. Cuaca dan suhu tidak dingin dan tidak panas. Kalau di Malaysia barangkali antara 24 hingga 29 darjah celsius.

Petanda waktu pagi selepas malam Al-Qadr pula ialah riwayat Imam Muslim,  Abu Daud,  dan  Al-Tirmidzi antara lain meriwayatkan melalui Ubai bin Ka'ab yang bermaksud: ”Tanda kehadiran Lailatul Qadr ialah matahari pada pagi harinya (kelihatan) putih tanpa sinar (nya).” Apakah yang dimaksudkan di sini matahari tidak kelihatan kemerah-merahan pada waktu pagi?  Wallahu A’lam.





Sumber : websites (100% copy and paste)


P/S: Selamat Berpuasa....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

sum o' spies